Monday, June 30, 2008

KERAJAAN PRIHATIN MENANGANI KRISIS KENAIKAN HARGA MAKANAN

MP Permatang Pauh mendakwa kenaikan harga barang makanan semakin meningkat. Harga makanan utama sahaja meningkat melebihi 50 peratus. Walau bagaimanapun, beliau mengakui kenaikan harga makanan ekoran kenaikan harga makanan dunia tidak mampu di kawal oleh kerajaan.

Beliau berpendapat, kesilapan kerajaan ialah kegagalan bertindak dengan cepat dan pantas bagi menangani masalah ini. Keadaan ini telah menimbulkan keresahan di kalangan rakyat yang berpendapat rendah. Beliau mencadangkan supaya kerajaan perlu menyediakan subsidi yang sewajarnya bagi memastikan bekalan makanan mencukupi.

Seri Melur : Kerajaan memang prihatin atas masalah rakyat. Buktinya sebahagian dari pengurangan subsidi minyak disalurkan untuk subsidi makanan. Selain itu, kerajaan juga menggalakkan rakyat melaksanakan Program Bumi Hijau bagi menggalakkan rakyat bercucuk tanam dan menjadikan aktiviti pertanian sebagai satu kaedah bagi menangani krisis kenaikan harga makanan ketika ini.

PENDIDIKAN UNTUK GOLONGAN PELAJAR YANG TIDAK DAPAT MELANJUTKAN PELAJARAN KE IPTA/S WAJAR DI KAJI

MP Kinabatangan meminta kerajaan mewujudkan sistem pendidikan yang bersesuaian untuk golongan pelajar yang tercicir. Golongan ini adalah pelajar-pelajar lepasan SPM dan STPM yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke IPTA/S. Walaupun kewujudan pusat seperti Giat Mara adalah untuk golongan ini tetapi tempat yang terhad menyebabkan masih ada golongan yang tercicir. Ini akan menyebabkan mereka terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat seperti gejala lumba haram, penyalahgunaan dadah, samseng dan sebagainya.

Sistem pendidikan hari ini yang terlalu berpandukan kepada peperiksaan seharusnya diubah. Pelajar-pelajar ini seharusnya dibekalkan dengan pelbagai ilmu dan kemahiran bagi memudahkan mereka menghadapi cabaran semasa hari ini.

Walau bagaimanapun MP Pasir Salak tidak bersetuju dengan apa yang dibangkitkan oleh MP Kinabatangan. Beliau berpendapat pelajar-pelajar hari ini tidak ada jati diri dan semangat untuk bersaing. Mereka juga tidak mampu berdikari. Kerajaan tidak seharusnya dipersalahkan terhadap gejala pengangguran dan pelbagai masalah sosial pada hari ini

USAHA KERAJAAN MERAPATKAN JURANG PERBEZAAN EKONOMI DIPUJI

MP Kinabatangan dalam membahaskan kajian separuh penggal RMK 9 memuji usaha kerajaan merapatkan jurang perbezaan ekonomi di antara masyarakat bandar dan luar bandar. Disamping itu usaha kerajaan menggalakkan kewujudan usahawan-usahawan baru adalah langkah yang sangat baik. Kewujudan SME Bank juga dilihat sangat wajar sebagai langkah membantu golongan usahawan. Walau bagaimanapun, kerajaan juga seharusnya mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi membantu golongan usahawan yang sedia ada. Tindakan kerajaan membatalkan lesen perniagaan mereka tanpa sebab-sebab yang sepatutnya telah membebankan golongan tersebut. Ini kerana mereka akan terbeban dengan hutang bank sedangkan perniagaan mereka terpaksa ditutup akibat dari lesen perniagaan mereka ditarik balik. MP sekijang juga bersetuju dengan apa yang dibangkitkan oleh MP Kinabatangan.

USAHA KERAJAAN MENUBUHKAN UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN DIPUJI

MP Pasir Mas mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan mewujudkan Universiti Malaysia Kelantan. Walau bagaimanapun, beliau meminta agar kursus-kursus dalam pelbagai bidang di tambah di universiti tersebut terutamanya dalam bidang Pengajian Islam. Beliau juga mencadangkan agar diwujudkan Kerusi Tok Kenali di Universiti tersebut. Terdapat beberapa tokoh yang dicadangkan oleh MP Pasir Mas dan dianggap layak diantaranya Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid.

JANGAN PERTIKAIKAN KONTRAK SOSIAL

Tindakan Majlis Peguam menganjurkan forum tentang kontrak sosial diselar oleh beberapa MP. diantaranya ialah MP Pasir Mas, MP Batu Pahat, MP Padang Besar dan MP Sri Gading. Mereka mempersoalkan matlamat forum ini diadakan. MP Pasir Mas mengatakan, jika penganjuran forum-forum seperti ini diadakan, ia mungkin menyebabkan pertumpahan darah dan peristiwa 13 Mei 1969 berulang. MP Batu Pahat mengatakan, perbahasan tentang kontrak sosial seolah mempertikaikan perlembagaan yang telah sedia ada dan dipersetujui oleh semua kaum. MP Sri Gading mengatakan seharusnya sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum, perkara-perkara yang boleh memecah belahkan perpaduan wajar dielakkan.

Rata-ratanya MP-MP yang tersebut di atas telah menzahirkan pandangan ribuan pengundi-pengundi mereka bahawa perkara kontrak sosial ini jangan dipertikaikan demi kesejahteraan dan keharmonian rakyat. Perkara ini telah dipersetujui oleh semua komponen utama BN iaitu UMNO, MCA dan MIC sebelum 1957 lagi. Di mana YAM Tunku Abdul Rahman adalah PM pertama mempastikan kontrak sosial akan berterusan tanpa ragu-ragu dan was-was lagi.

Kaum-kaum bukan Melayu perlu ambil berat dan jangan cuba mencabar kesabaran dan sikap lemah lembut orang-orang Melayu yang telah banyak memberi keistimewaan kepada orang bukan Melayu.

Pemerhati politik mengalu-alukan ucapan MP Pasir Salak yang juga turut bersuara dengan lantangnya dalam dewan supaya kaum lain berpada-pada dalam tindakan yang boleh menaikkan kemarahan orang Melayu.

IBU BAPA PERLU AMBIL BERAT PRESTASI PELAJARAN ANAK LELAKI MEREKA

Menjawab soalan dari MP Rembau, MP Tangga Batu (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi )menjelaskan penawaran tempat ke IPTA adalah berdasarkan merit dan kekosongan. Merit diukur berdasarkan 90 peratus akademik dan 10 peratus aktiviti Ko-Kurikulum. Disamping itu juga, nisbah pelajar perempuan dan lelaki di IPTA adalah membimbangkan dan langkah-langkah yang sewajarnya seharusnya dilaksanakan agar dapat mengawal situasi ini.

Ahli-ahli Dewan samaada BN atau pembangkang perlu faham masalah yang dihadapi oleh kementerian ini. Timbalan Menteri cuba menyampaikan mesej bahawa jika tidak ada perancangan,IPTA nanti akan dipenuhi oleh satu gender sahaja iaitu perempuan. Timb. Menteri juga secara tidak langsung ingin mengingatkan ibu bapa memberi perhatian kepada anak lelaki masing-masing supaya kuat belajar dan merebut tempat-tempat di IPTA di masa akan datang. Kita tidak mahu nanti kaum lelaki banyak menganggur dan ini akan memberi masalah besar kepada negara dan kerajaan.

TINDAKAN SPEAKER MINTA MP PUCHONG KELUAR DEWAN ADALAH TEPAT

MP Kepong telah dikenakan tindakan tidak dibenarkan menghadiri Sidang Dewan Rakyat selama dua hari. Tindakan ini dikenakan oleh Yang Di Pertua Dewan Rakyat kerana bersikap keterlaluan sehingga dianggap seolah mencabar Speaker dan tidak menghormati dewan. Semua MP seharusnya mengambil ikhtibar daripada kejadian ini supaya mengamalkan sikap dan tatasusila yang bersesuaian sebagai MP dalam membahaskan sesuatu perkara dan bukannya terlalu emosional.

MP Kepong agak keterlaluan semasa mencelah semasa soal jawab isu dalam dewan. Perkara ini tak kan berlaku sekiranya MP menepati prosedur-prosedur dewan. Tunjuklah kepada ahli dewan dan pelajar-pelajar yang turut hadir di galeri bahawa MP Puchong adalah berwibawa. Kini beliau berkelakuan yang bercanggah dengan watak seorang MP. Tindakan Speaker untuk mengarahkan beliau tidak menghadiri parlimen selama 2 hari adalah mengikut prosedur dewan. Speaker telah banyak bersabar tetapi kesabaran beliau dicabar dan kali ini tidak boleh dibiarkan berlaku

Tuesday, June 24, 2008

Usul kenaikan harga dilulus

Dewan Rakyat perakui langkah penstrukturan semula subsidi bahan api

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan usul khas berkaitan kenaikan harga petroleum dan barangan selepas kira-kira lima jam dibahaskan oleh 18 Ahli Parlimen, masing-masing sembilan dari Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang, semalam.

Usul berkenaan diluluskan menerusi undian belah bahagian dengan 129 yang semuanya wakil rakyat BN menyokong, manakala 78 Ahli Parlimen pembangkang dan Bebas menolak. Turut mengundi, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum itu, berlaku kekecohan apabila Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee memutuskan usul berkenaan diterima selepas mendapat persetujuan lisan daripada semua Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, tindakan beliau dibantah oleh wakil pembangkang menyebabkan keadaan hampir tidak terkawal hingga memaksa Ronald menyerahkan tugas itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ketika mengemukakan bantahan itu, Azmin Ali (PKR-Gombak) yang disokong Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) meminta Perkara 46(4) Peraturan Mesyuarat diteliti selepas Ronald dikatakan tidak mempedulikan permintaan 15 Ahli Parlimen pembangkang supaya diadakan undian belah bahagian.

Keadaan reda apabila pada jam 6.56 petang, Pandikar Amin meminta Setiausaha Dewan, Rosmee Hamzah membunyikan loceng bagi meminta semua Ahli Parlimen masuk untuk mengundi.

Ini adalah kali kedua pakatan pembangkang memilih kaedah undi sedemikian selepas kali pertama ketika pengundian Rang Undang-undang Perbekalan 2008 (2007), yang juga memihak kepada kerajaan pada 28 Mei lalu.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, ketika membentangkan usul itu menghuraikan secara terperinci tindakan kerajaan menstruktur semula subsidi minyak, yang antara lain bertujuan meningkatkan keupayaan ekonomi negara sebagai persiapan menghadapi kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi dunia.

Beliau berkata, langkah itu juga dapat menjamin kesejahteraan rakyat miskin, golongan berpendapatan rendah dan sederhana berikutan kenaikan harga minyak di pasaran global.

"Ketika harga minyak di pasaran dunia meningkat, sistem subsidi minyak di pam sebelum ini kurang memberi manfaat kepada kumpulan sasar utama, sebaliknya menguntungkan golongan berada yang mempunyai kenderaan mewah atau lebih daripada satu kenderaan.

"Subsidi yang tidak berkesan akan memberi kesan besar kepada daya saing dan daya maju sesebuah ekonomi dalam jangka panjang, terutama apabila ia membabitkan kegiatan penyeludupan.

"Oleh itu, penstrukturan semula minyak dan gas adalah pelopor ke arah sistem yang lebih berkeupayaan dan berkesan. Walaupun ia bukan langkah popular dan boleh diputarbelitkan, demi masa depan negara, kerajaan tiada pilihan lain selain menstruktur semula sistem subsidi minyak dan gas," katanya.

Shahrir berkata, tanpa usaha penstrukturan semula bahan api itu, tahap defisit bajet kerajaan akan meningkat kepada lebih enam peratus tahun ini hanya untuk menanggung beban subsidi yang lebih besar, berbanding 3.1 peratus yang disasarkan untuk 2008.

"Tahap defisit yang tinggi boleh ditampung kerajaan dalam jangka masa pendek. Bagaimanapun ia hanya perlu dilaksanakan apabila negara menghadapi kemelesetan ekonomi dan negara belum berhadapan dengan masalah itu.

"Oleh itu, kerajaan perlu mengekalkan tahap defisit yang rendah untuk memberikan fleksibiliti kepada kerajaan kerana risiko kemelesetan ekonomi kini tinggi," katanya.

Beliau berkata, ekoran ramalan bahawa Amerika Syarikat bakal berhadapan krisis ekonomi yang mungkin merebak ke seluruh dunia, Malaysia perlu mengukuhkan kadar fiskal negara untuk menjamin ekonomi yang mampu menghadapi cabaran global.

"Kerajaan yang memandang serius fenomena global ini bagaimanapun tidak mempunyai sumber atau keupayaan untuk melindungi ekonomi negara.

"Sebagai contoh, subsidi petrol dan diesel di pam dijangka meningkat daripada RM8.8 bilion tahun lalu kepada RM27 bilion tahun ini," katanya.

Shahrir mengajak rakyat, peniaga dan pengilang berganding bahu mengatasi kemelut itu dan sentiasa berjimat cermat untuk mengelak pembaziran.

"Peniaga jangan naikkan harga barang hingga membebankan rakyat, tetapi seharusnya mewujudkan daya saing, manakala rakyat pula elakkan terbabit dalam demonstrasi kerana ia tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya akan menyebabkan ketidakstabilan," katanya.

Beliau berkata, pemberian subsidi yang berterusan akan mengurangkan keupayaan kerajaan untuk menggunakan hasil kewangan bagi menampung keperluan lebih penting seperti pendidikan, kesihatan, perumahan rakyat, keselamatan dan pembangunan luar bandar serta bantuan secara langsung kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Sementara itu, Razali Ibrahim (BN-Muar) ketika menyokong usul berkenaan, berkata hanya kerajaan yang amanah dan berani akan melaksanakan langkah yang bertanggungjawab ini untuk menjamin pengagihan lebihan subsidi kepada rakyat.

Beliau juga mencadangkan supaya permit import (AP) kereta diberi kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) atau syarikat berkaitan kerajaan lain supaya dana itu dapat disalurkan untuk menambah pendapatan kerajaan.

"Langkah mengenakan bayaran kepada kenderaan luar yang masuk ke negara kita perlu disegerakan kerana pelaksanaannya membuktikan kita menjaga kepentingan rakyat, bukan orang luar dan tentunya pendapatan daripadanya dapat digunakan untuk pelbagai program pembangunan termasuk latihan sumber tenaga dan makanan," katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya Majlis Tanah Negara memantau tanah dan merangka program untuk membangunkan tanah terbiar kerana ia sesuatu yang merugikan negara dan tentunya dapat menjimatkan subsidi.

"Jika dulu, pelaburan terus asing membawa perpindahan teknologi dan mewujudkan peluang pekerjaan, tetapi hari ini ia tidak lagi berlaku dan sebab itu kita tidak mahu kira-kira dua juta tenaga asing yang mendapat manfaat apabila gaji minimum RM1,500 diluluskan kerajaan," katanya.

INTI PATI

Usul khas berkaitan kenaikan harga
  • Langkah menstruktur semula subsidi minyak bagi mengurangkan defisit negara sebagai persediaan menghadapi risiko tinggi kemelesetan ekonomi.
  • Krisis subprima yang dihadapi Amerika Syarikat sekarang diramal mengakibatkan kemelesetan ekonomi, yang dijangka merebak ke seluruh dunia.
  • Tanpa usaha penstrukturan semula, tahap defisit bajet kerajaan akan meningkat kepada lebih enam peratus tahun ini hanya untuk menanggung beban subsidi yang lebih besar.
  • Pemberian subsidi yang berterusan akan mengurangkan keupayaan kerajaan untuk menggunakan hasil kewangan bagi menampung keperluan lebih penting.
  • Majlis Tanah Negara disyor memantau tanah dan merangka program membangunkan tanah terbiar kerana ia merugikan negara dan tentunya dapat menjimatkan subsidi.

Sumber : Berita Harian