Friday, July 11, 2008

HANYA ‘MUSUH’ TAKUT KERJASAMA POLIS, TENTERA

ADA pihak termasuk ahli politik berselindung di sebalik badan bukan kerajaan (NGO) membantah kerjasama atau latihan bersama Angkatan Tentera dan Polis Diraja Malaysia dalam menangani keadaan yang mengancam keselamatan negara.

Kepada pencinta keamanan, kerjasama itu wajar dan penting dilakukan untuk menghindarkan negara daripada ancaman dari dalam negeri atau luar negara. Mengapa kita mesti heboh dan pelik atas kerjasama itu? Tugas tentera dan polis ialah menjaga keamanan dan keselamatan negara serta rakyat negara ini daripada gangguan musuh. Hanya ‘musuh’ yang tidak suka tentera.

Orang awam seperti saya tidak takut dengan kerjasama tentera dan polis. Mereka bertanggungjawab melindungi anak bangsa daripada ancaman. Malah, bantuan tentera bukan baru. Mereka membantu rakyat ketika susah atau senang. Ketika banjir melanda, mereka mengharung air membantu rakyat.

Mereka membantu menyelamatkan nyawa rakyat yang terperangkap dalam bencana. Malah, banyak bantuan kecemasan tentera hulurkan. Apa salahnya kerjasama tentera dan polis? Tidak ada kejanggalan langsung. Sesiapa saja yang cuba mewujudkan anarki atau rusuhan dalam negara yang mengancam keselamatan perlu ditentang, tidak kira dari mana datang golongan yang mahu merosakkan keamanan negara.

Malah, kerjasama menangani anarki ini mesti diperluaskan bukan kepada tentera dan polis saja tetapi membabitkan Rela, pertahanan awam, polis kadet, tentera dan bomba. Ia kerja baik yang memberi manfaat kepada rakyat untuk mengembalikan keamanan jika berlaku rusuhan. Apakah kita hendak membiarkan polis sendirian berkorban nyawa mempertahankan negara daripada perbuatan warganya yang tidak bertanggung jawab.

Semua pihak mesti membantu polis mewujudkan keamanan. Pasukan paling hampir ialah tentera. Mengapa kita sering mempertikaikan polis? Tanpa polis, negara ini akan menjadi ‘negara koboi.’ Rakyat negara ini mesti menegur rakan dan saudara yang melanggar undang-undang.

Pelanggaran undang-undang menyusahkan rakyat yang ingin bekerja dan mencari nafkah. Contohnya, perhimpunan haram menyebabkan kesesakan jalan raya. Usah membuang masa dengan pelbagai aktiviti melanggar undang-undang. Kerjasama antara tentera dan polis dialu-alukan. Rakyat yang baik akan menerima kerjasama itu sebagai melindungi negara daripada anasir durjana.

DR GUNAWAN MAHMOOD,
Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment