Wednesday, April 29, 2009

Benarkah Mahkamah berat sebelah???????

KENYATAAN AKHBAR
YAB DATO’ SERI DR ZAMBRY ABDUL KADIR
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan
28 April 2009

Saya ingin memaklumkan bahawa Mahkamah Persekutuan Malaysia di Putrajaya telah menolak Notis Usul yang difailkan oleh saya di bawah Artikel 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Artikel ini ialah mengenai kuasa khas bagi Mahkamah Persekutuan berkenaan tafsiran Undang-Undang Tubuh Negeri Perak kerana terdapat percanggahan fakta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila peguam YB Dato’ Seri Mohammad Nizar bin Jamaluddin telah memohon bagi memeriksa balas Penasihat Undang-Undang Negeri Perak terhadap affidavit yang telah diikrarkan oleh YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak.

Saya dengan rendah diri menerima dan menghormati segala keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah yang bersidang pada hari ini. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan Mahkamah walaupun keputusan-keputusan yang dibuat tidak menyebelahi saya.

Pada saya everybody is equal under the eyes of the law and subjected to the Constitution.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini juga pernah menolak permohonan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar persoalan berhubung dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dibawah seksyen 84 Akta Mahkamah Keadilan 1964.

Tindakan saya menfailkan Notis Usul dibawah Artikel 63 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak adalah untuk mendapatkan penyelesaian muktamad bagi menentukan kesahihan kedudukan saya sebagai Menteri Besar yang telah dicabar oleh YB Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin demi kebaikan dan kepentingan rakyat Perak seluruhnya dan bukan mencari jalan pintas seperti yang didakwa sesetengah pihak.

YB Nga Kor Ming pada hari ini melalui Akhbar New Straits Times menyatakan bahawa:

“Does Zambry know ahead of time that the court will rule in his favour, even though the matter has yet to be heard? If so where is the independence of judiciary.”

Saya seterusnya menyatakan bahawa kenyataan yang dibuat oleh YB Nga Kor Ming adalah sesuatu yang tidak bertanggung jawab dan berunsur hasutan.


Saya tidak pernah mengganggu Mahkamah dalam membuat sebarang keputusan dan saya tidak pernah mempersoalkan kebebasan sistem kehakiman Negara walaupun adakalanya tidak menyebelahi saya.

Berbeza dengan pemimpin Pakatan Pembangkang yang hanya memuji dan menyokong keputusan Mahkamah yang menyebelahi mereka tetapi menggunakan pelbagai alasan untuk menolak keputusan Mahkamah apabila tidak menyebelahi mereka.

YB Dato Ngeh Koo Ham dalam ucapannya dalam Majlis Ceramah PAS kawasan Lumut pada 17 April 2009 telah menyentuh isu keputusan Mahkamah Persekutuan dan menyatakan bahawa:

“Tuan-tuan dan puan, saya rasa amat kesal lah, kerana Mahkamah Persekutuan tidak ikut undang-undang, prinsip undang-undang yang sedia ada telah termaktub ataupun diterima sebagai surat selesai ataupun sudah diputuskan semenjak sekian lama lagi, mereka sudah tukar undang-undang hanya kerana kes Negeri Perak”

Kenyataan yang dibuat oleh YB Dato Ngeh Koo Ham bukan sahaja menghina keputusan Mahkamah Persekutuan malahan suatu tindakan menghasut rakyat Negeri Perak supaya tidak menghormati undang-undang dan institusi Kehakiman Negara.


Adakah ini keadilan yang dibawa dan diwar-warkan oleh Pakatan Pembangkang?

Saya juga menyatakan bahawa Dewan Negeri Perak perlu bersidang walaupun kes berkenaan semakan kehakiman yang difailkan oleh YB Dato Seri Mohammad Nizar bin Jamaluddin terhadap saya masih belum diputuskan.

Ini adalah kerana selagi mahkamah tidak membuat apa-apa keputusan sebaliknya berkenaan perlantikan saya; kedudukan saya sebagai Menteri Besar Perak adalah sah dan saya bersama-sama barisan Exco saya berhak bagi menduduki kerusi yang sepatutnya diduduki oleh kami ketika persidangan Dewan Undangan Negeri.

Tuan Yang Dipertua Dewan juga mesti mengiktiraf dan menghormati perlantikan kami sehingga Mahkamah memutuskan sebaliknya.

Secara ringkas, Melalui kenyataan media di atas, MB Perak menjawab permainan perang saraf Ngeh-Nga-Nizar menuduh mahkamah berat sebelah.Jika benar, memang tidak adil. Adakah mahkamah hanya membuat keputusan menyebelahi BN? Bagaimana pula jika ianya satu pembohongan? Bukankah itu menghina mahkamah?

Sultan yang melantik Zambery, bukan Zambery melantik dirinya. Bukan Zambery yang memecat Nizar. Keputusan Sultan dibuat berdasarkan kuasa di dalam peruntukkan undang-undang dan perlembagaan. Di Malaysia, perlembagaan adalah "supreme" melebihi orang perseorangan, institusi, rakyat, proses demokrasi dan prosedur pentadbiran.Baginda telah gunakan prosedur sama yang diguna untuk melantik Nizar dalam melantik Zambery. Dengan hak yang ada pada Sultan, terpulanglah dia untuk menentukan dengan adil.

Keputusan Tuanku adalah prerogatif yang termaktub dalam Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Perak dan penentangan secara tidak langsung bermaksud menentang sekali undang-undang, perlembagaan dan institusi negara.

Sememangnya salah untuk terlalu setia seperti Hang Tuah, tetapi tidak patut untuk bertindak seperti Hang Jebat yang hanya berdasarkan emosi, dendam, dan tidak rasional. Kita perlu setia tetapi tidak perlu menurut membabi buta. Kesetiaan kita adalah kepada susunan, proses peraturan, pengagihan kuasa dan institusi yang telah terbina sejak sekian lama…

Bumi Malaysia tercinta ini kita pinjam dari anak cucu kita. Peliharalah dengan sebaiknya agar anak cucu kita tidak merempat di bumi sendiri

No comments:

Post a Comment