Thursday, August 13, 2009

PAS SOKONG KEPUTUSAN KERAJAAN SELANGOR

SHAH ALAM 12 Ogos - Pas Selangor menyokong keputusan kerajaan negeri supaya semua premis perniagaan di negeri itu melaksanakan konsep kawalan sendiri bagi membanteras penjualan arak kepada orang Islam dan bawah umur.

Ini bermakna parti Islam itu menyokong tindakan kerajaan negeri untuk tidak mengharamkan penjualan arak di kawasan majoriti Islam di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali berkata, Pas tidak pernah berbeza pendapat dengan kerajaan negeri seperti yang dilaporkan, malah keputusan yang dibuat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menepati kehendak Pas.

Menurut Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Selangor itu, mesyuarat tergempar Pas Selangor pada Jumaat lalu juga telah setuju untuk menyokong keputusan kerajaan negeri berhubung isu tersebut.

Kenyataan Halimah itu bagaimanapun bercanggah dengan Ketua Penerangan Pas, Roslan Mohd. Shahir yang dilaporkan berkata, Pas Selangor tetap dengan pendirian meminta kerajaan negeri mengharamkan penjualan minuman keras di kawasan majoriti Islam.

Malah, Dewan Pemuda Pas Selangor memberi tempoh sebulan kepada kerajaan negeri untuk mengharamkan penjualan itu di kawasan majoriti Islam.

''Kita sependapat dengan keputusan kerajaan negeri. Laporan yang mengatakan Pakatan Rakyat tidak persefahaman apabila Pas dan DAP berbeza pendapat adalah tidak benar,' katanya ketika ditemui pada Seminar Rang Undang-Undang Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini semalam.

Mengenai cadangan DAP supaya pakatan pembangkang menubuhkan lembaga disiplin terhadap Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali kerana membuat kritikan terbuka, Halimah berkata, ia hanyalah salah faham dan salah lapor.

''Kita ni seperti adik beradik. Tiada sebarang sengketa atau perbalahan. Apa yang berlaku hanyalah disebabkan salah faham," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia, 12 Ogos 2009

MELOR : Kemana menghilangkan identiti PAS yang sebelum ini mewarwarkan memperjuangkan Islam?. Kenapa boleh berdolak dalih dalam isu penjualan arak di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam. Mengapa mereka begitu mudah tunduk kepada DAP dan PKR?. Jika dahulu mereka hanya berpeluang mengkritik setiap dasar dan langkah yang diambil oleh kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO. Tetapi kini bila mereka berpeluang untuk memerintah beberapa negeri termasuk Selangor, nampaknya tak sampai sepenggal memerintah, mereka telah menyerlahkan ketidakupayaan dan kekalutan dalam mentadbir....itu baru beberapa negeri. Belum lagi satu negara.....



No comments:

Post a Comment