Tuesday, June 24, 2008

Usul kenaikan harga dilulus

Dewan Rakyat perakui langkah penstrukturan semula subsidi bahan api

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat meluluskan usul khas berkaitan kenaikan harga petroleum dan barangan selepas kira-kira lima jam dibahaskan oleh 18 Ahli Parlimen, masing-masing sembilan dari Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang, semalam.

Usul berkenaan diluluskan menerusi undian belah bahagian dengan 129 yang semuanya wakil rakyat BN menyokong, manakala 78 Ahli Parlimen pembangkang dan Bebas menolak. Turut mengundi, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum itu, berlaku kekecohan apabila Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee memutuskan usul berkenaan diterima selepas mendapat persetujuan lisan daripada semua Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, tindakan beliau dibantah oleh wakil pembangkang menyebabkan keadaan hampir tidak terkawal hingga memaksa Ronald menyerahkan tugas itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ketika mengemukakan bantahan itu, Azmin Ali (PKR-Gombak) yang disokong Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) meminta Perkara 46(4) Peraturan Mesyuarat diteliti selepas Ronald dikatakan tidak mempedulikan permintaan 15 Ahli Parlimen pembangkang supaya diadakan undian belah bahagian.

Keadaan reda apabila pada jam 6.56 petang, Pandikar Amin meminta Setiausaha Dewan, Rosmee Hamzah membunyikan loceng bagi meminta semua Ahli Parlimen masuk untuk mengundi.

Ini adalah kali kedua pakatan pembangkang memilih kaedah undi sedemikian selepas kali pertama ketika pengundian Rang Undang-undang Perbekalan 2008 (2007), yang juga memihak kepada kerajaan pada 28 Mei lalu.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, ketika membentangkan usul itu menghuraikan secara terperinci tindakan kerajaan menstruktur semula subsidi minyak, yang antara lain bertujuan meningkatkan keupayaan ekonomi negara sebagai persiapan menghadapi kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi dunia.

Beliau berkata, langkah itu juga dapat menjamin kesejahteraan rakyat miskin, golongan berpendapatan rendah dan sederhana berikutan kenaikan harga minyak di pasaran global.

"Ketika harga minyak di pasaran dunia meningkat, sistem subsidi minyak di pam sebelum ini kurang memberi manfaat kepada kumpulan sasar utama, sebaliknya menguntungkan golongan berada yang mempunyai kenderaan mewah atau lebih daripada satu kenderaan.

"Subsidi yang tidak berkesan akan memberi kesan besar kepada daya saing dan daya maju sesebuah ekonomi dalam jangka panjang, terutama apabila ia membabitkan kegiatan penyeludupan.

"Oleh itu, penstrukturan semula minyak dan gas adalah pelopor ke arah sistem yang lebih berkeupayaan dan berkesan. Walaupun ia bukan langkah popular dan boleh diputarbelitkan, demi masa depan negara, kerajaan tiada pilihan lain selain menstruktur semula sistem subsidi minyak dan gas," katanya.

Shahrir berkata, tanpa usaha penstrukturan semula bahan api itu, tahap defisit bajet kerajaan akan meningkat kepada lebih enam peratus tahun ini hanya untuk menanggung beban subsidi yang lebih besar, berbanding 3.1 peratus yang disasarkan untuk 2008.

"Tahap defisit yang tinggi boleh ditampung kerajaan dalam jangka masa pendek. Bagaimanapun ia hanya perlu dilaksanakan apabila negara menghadapi kemelesetan ekonomi dan negara belum berhadapan dengan masalah itu.

"Oleh itu, kerajaan perlu mengekalkan tahap defisit yang rendah untuk memberikan fleksibiliti kepada kerajaan kerana risiko kemelesetan ekonomi kini tinggi," katanya.

Beliau berkata, ekoran ramalan bahawa Amerika Syarikat bakal berhadapan krisis ekonomi yang mungkin merebak ke seluruh dunia, Malaysia perlu mengukuhkan kadar fiskal negara untuk menjamin ekonomi yang mampu menghadapi cabaran global.

"Kerajaan yang memandang serius fenomena global ini bagaimanapun tidak mempunyai sumber atau keupayaan untuk melindungi ekonomi negara.

"Sebagai contoh, subsidi petrol dan diesel di pam dijangka meningkat daripada RM8.8 bilion tahun lalu kepada RM27 bilion tahun ini," katanya.

Shahrir mengajak rakyat, peniaga dan pengilang berganding bahu mengatasi kemelut itu dan sentiasa berjimat cermat untuk mengelak pembaziran.

"Peniaga jangan naikkan harga barang hingga membebankan rakyat, tetapi seharusnya mewujudkan daya saing, manakala rakyat pula elakkan terbabit dalam demonstrasi kerana ia tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya akan menyebabkan ketidakstabilan," katanya.

Beliau berkata, pemberian subsidi yang berterusan akan mengurangkan keupayaan kerajaan untuk menggunakan hasil kewangan bagi menampung keperluan lebih penting seperti pendidikan, kesihatan, perumahan rakyat, keselamatan dan pembangunan luar bandar serta bantuan secara langsung kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Sementara itu, Razali Ibrahim (BN-Muar) ketika menyokong usul berkenaan, berkata hanya kerajaan yang amanah dan berani akan melaksanakan langkah yang bertanggungjawab ini untuk menjamin pengagihan lebihan subsidi kepada rakyat.

Beliau juga mencadangkan supaya permit import (AP) kereta diberi kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) atau syarikat berkaitan kerajaan lain supaya dana itu dapat disalurkan untuk menambah pendapatan kerajaan.

"Langkah mengenakan bayaran kepada kenderaan luar yang masuk ke negara kita perlu disegerakan kerana pelaksanaannya membuktikan kita menjaga kepentingan rakyat, bukan orang luar dan tentunya pendapatan daripadanya dapat digunakan untuk pelbagai program pembangunan termasuk latihan sumber tenaga dan makanan," katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya Majlis Tanah Negara memantau tanah dan merangka program untuk membangunkan tanah terbiar kerana ia sesuatu yang merugikan negara dan tentunya dapat menjimatkan subsidi.

"Jika dulu, pelaburan terus asing membawa perpindahan teknologi dan mewujudkan peluang pekerjaan, tetapi hari ini ia tidak lagi berlaku dan sebab itu kita tidak mahu kira-kira dua juta tenaga asing yang mendapat manfaat apabila gaji minimum RM1,500 diluluskan kerajaan," katanya.

INTI PATI

Usul khas berkaitan kenaikan harga
  • Langkah menstruktur semula subsidi minyak bagi mengurangkan defisit negara sebagai persediaan menghadapi risiko tinggi kemelesetan ekonomi.
  • Krisis subprima yang dihadapi Amerika Syarikat sekarang diramal mengakibatkan kemelesetan ekonomi, yang dijangka merebak ke seluruh dunia.
  • Tanpa usaha penstrukturan semula, tahap defisit bajet kerajaan akan meningkat kepada lebih enam peratus tahun ini hanya untuk menanggung beban subsidi yang lebih besar.
  • Pemberian subsidi yang berterusan akan mengurangkan keupayaan kerajaan untuk menggunakan hasil kewangan bagi menampung keperluan lebih penting.
  • Majlis Tanah Negara disyor memantau tanah dan merangka program membangunkan tanah terbiar kerana ia merugikan negara dan tentunya dapat menjimatkan subsidi.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment