Thursday, July 10, 2008

BERTENTANG MATA: EMPAT SAKSI HANYA UNTUK DAKWAAN ZINA

TINDAKAN Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Mahkamah Syariah mengendalikan dakwaan berhubung kes liwatnya membuka dimensi baru isu itu. Wajarkah mahkamah itu mendengarnya dan bolehkah bukti saintifik dikemukakan? Ikuti wawancara wartawan Berita Harian, Nahar Tajri, bersama Ketua Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Universiti Malaya, Dr Siti Zubaidah Ismail.

Adakah wajar ia dibicarakan di Mahkamah Syariah?
Saya tidak mahu mengatakan sama ia wajar atau tidak, tetapi dalam undang-undang syariah ada peruntukan jelas mengenai perkara ini. Mengikut Seksyen 25 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 menyatakan mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan dia boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan.

Apakah syarat empat orang saksi diperlukan mengikut undang-undang Islam yang digambarkan sebelum ini dan apakah prosedurnya.
Persoalan empat saksi tidak timbul memandangkan kes ini bukan zina. Ia tuduhan meliwat. Pendakwa boleh mengemukakan seberapa ramai saksi yang tahu atau mempunyai maklumat mengenai kes ini dan ia akan dibicarakan mengikut prosedur Mahkamah Syariah. Pendakwa boleh mengemukakan bukti dan ia akan dinilai sama ada kes itu wujud atau tidak. Prosesnya sama, jika ada kes ia akan dibicarakan dan jika tiada, kes bermakna tiada pendakwaan. Saksi boleh terdiri daripada penguat kuasa, orang yang menangkap atau menyaksikan dan pengadu. Begitu juga dengan dakwaan fitnah, di Mahkamah Syariah, hakim menganggap fitnah adalah bohong sehingga dibuktikan.

Bolehkan bukti saintifik dikemukakan sebagai bahan bukti? Apakah syaratnya.
Bukti saintifik boleh dikemukakan di Mahkamah Syariah. Ia diterima asalkan memenuhi syarat. Ia berfungsi sebagai bukti sokongan dan bukan bukti utama. Bukti saintifik seperti DNA boleh dikemukakan dan ia perlu dikendalikan pakar. Tidak ditetapkan sama ada pakar itu Islam atau tidak.

BERITA HARIAN 10 JULAI 2008

No comments:

Post a Comment