Friday, July 11, 2008

PERALIHAN KUASA DALAM 2 TAHUN MUNASABAH

Oleh Kadir Dikoh
kadiro@bharian.com.my


PENGUMUMAN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menetapkan tarikh peralihan kuasa untuk diserahkan kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, dalam tempoh dua tahun - sekitar pertengahan 2010, dijangka meredakan keadaan dalam Umno.

Sekurang-kurangnya ahli parti kini boleh menumpukan usaha untuk memulihkan Umno selepas menerima kejutan dalam Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu. Mereka kini sudah tidak lagi tertanya-tanya mengenai pelan peralihan kuasa itu.

Setiap kali ada pertemuan tertutup membabitkan pemimpin atasan parti dengan pemimpin bahagian di seluruh negara sejak kebelakangan ini, itulah persoalan pokok yang kerap dilontarkan hingga sesetengah mesyuarat dihabiskan untuk membicara soal kepemimpinan semata-mata.

Pada hal, krisis lebih mendesak dan perlu ditangani dengan sebaik mungkin ialah soal kenaikan harga minyak dan makanan global hingga memaksa kerajaan menstruktur semula subsidi petrol.

Dengan itu juga, ahli Umno yang mengadakan mesyuarat peringkat cawangan mulai Khamis depan, sudah mempunyai arah tuju yang jelas tanpa perlu lagi terlalu tertumpu kepada soal kepemimpinan kerana ada lagi isu yang lebih penting perlu ditangani sekarang.

Sudah pasti Abdullah dan Najib membincangkan soal peralihan kuasa itu dengan lebih lanjut sebelum Perdana Menteri memberitahu butiran tarikh itu pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti semalam, diikuti taklimat tertutup dengan pemimpin Umno pada peringkat bahagian dari seluruh negara.

Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan berundur dari politik dan kerajaan dulu, beliau mengambil masa yang lebih kurang sama iaitu 16 bulan sebelum menyerahkan kuasa kepada Abdullah pada 31 Oktober 2003.

Perkara yang sama dilakukan Abdullah untuk Najib, dengan memberi tempoh 24 bulan bagi membolehkan timbalannya itu membuat persediaan mengambil alih dan seterusnya menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2012 atau 2013.

Sebarang peletakan jawatan atau peralihan kuasa secara mengejut tidak akan memberi kebaikan kepada parti dan kerajaan kerana ia boleh menjejaskan kestabilan politik.

Sumber : Berita Harian 11 Julai 2008

No comments:

Post a Comment