Wednesday, July 9, 2008

PANGKOR II: DAP JADI PENASIHAT MENTERI BESAR MELAYU?

Saya amat terkejut membaca kenyataan Fadhil Jamaluddin, abang kepada Menteri Besar Perak bahawa wujud Perjanjian Pangkor 11 di antara Menteri Besar Perak dan DAP sebelum beliau menjadi Menteri Besar yang menidakkan beliau daripada bercakap hal-hal berkaitan Islam seperti Hudud, Qisas dan lain-lain.

Orang Melayu di Perak, khususnya UMNO, mestilah melihat perkara ini dengan serius apakah perjanjian ini benar-benar wujud.

Kalau wujud, malang benarlah bangsa Melayu. Belum habis sumpahan Perjanjian Pangkor I, Perjanjian Pangkor II pula timbul. Perjanjian Pangkor pertama telah meletakkan penjajah Barat menjadi penasihat Raja-Raja Melayu manakala Perjanjian Pangkor 11 meletakkan DAP sebagai penasihat Menteri Besar Melayu.

Lebih malang lagi ketika Perjanjian Pangkor I, hal ehwal Islam diserahkan kepada Raja-Raja Melayu tetapi dalam Perjanjian Pangkor II, hal ehwal Islam tidak boleh disebut. Apa sudah jadi kepada Parti Islam SeMalaysia (Pas) hingga demikian teruknya? Apakah kerana jawatan maka segala prinsip boleh diketepikan.

Orang Melayu hendaklah melihat ini sebagai ujian kepada mereka betapa rapuhnya perpaduan Melayu kerana walaupun bilangan ramai tetapi tidak menggambarkan kekuatan sebenar. Keghairahan Pas untuk menubuhkan negara Islam kini tinggal kenangan.

Di manakah jihad dan laungan Allahuakbar yang selama ini menjana kekuatan mereka? Pas kian lesu dan melembutkan perjuangan mereka dengan perkataan 'negara kebajikan'.
Hilanglah 'hudud' dan hilanglah 'Perjanjian Madinah' yang diwar-warkan. Yang tinggal hanya soal tanah 99 tahun atau 999 tahun (kepada kampung-kampung baru yang rata-rata didiami oleh masyarakat Cina). UMNO kena bangkit membetulkan keadaan ini kerana Pas bukan parti yang boleh diharapkan untuk mengukuhkan agama Islam.

Jika suatu hari nanti terdapat penghakisan kepada orang Melayu maka Paslah yang perlu bertanggungjawab. Pas jangan sibuk menghantar memorandum ke Istana Negara untuk selesaikan kecelaruan politik negara tetapi dalam waktu yang sama politik mereka juga bercelaru. Kalau pun berpakat dalam Pakatan Rakyat, jangan sampai berpakat untuk menghancurkan bangsa Melayu. Ingatlah, Melayu adalah bangsa teras yang mengimbangi perpaduan kaum-kaum lain di negara ini.

Semua pihak perlu melihat sama ada wujud Perjanjian Pangkor II seperti dakwaan abang Menteri Besar Perak. Jika benar wujud, isi kandungannya hendaklah diteliti. Jangan biarkan nasi menjadi bubur, jangan biarkan cacing naik ke mata. Bertahanlah selagi ada upaya. Jangan berlaku lagi peristiwa JWW Birch kerana buruk padahnya!

DR. GUNAWAN MAHMOOD
Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment